Ramai kalangan kita yang terbatas waktu untuk melakukan aktiviti sihat setiap hari.
Justeru, waktu hujung minggu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan pelbagai aktiviti sihat agar tubuh dapat mengeluarkan peluh, sekali gus merangsang organ dalaman agar dapat berfungsi dengan lebih baik.
Berikut ialah lima aktiviti sihat yang anda dapat lakukan pada hujung minggu.
1. Berenang
Berenang adalah satu aktiviti yang amat bagus untuk kesihatan. Aktiviti renang dapat membentuk dan menguatkan otot badan.
Hasil kajian menunjukkan seseorang yang menjalani latihan intensif renang selama lapan minggu berturut-turut akan mengalami peningkatan otot trisep sebanyak 23.8 peratus. Otot trisep ialah otot tangan bahagian belakang.
Selain itu, berenang membantu meningkatkan fungsi jantung. Malah lebih daripada itu, aktiviti berenang juga dapat mengurangkan stres yang menjadi antara punca senyap peningkatan penyakit fizikal.
2. Berbasikal
Terlalu banyak kebaikan aktiviti berbasikal. Antaranya ialah meningkatkan penggunaan kalori dan kadar metabolisme badan. Ia juga dapat membantu anda mengurangkan berat badan.
Aktiviti berbasikal juga dapat mengurangkan risiko serangan arthritis dan pembengkakan sendi. Ini kerana gerakan berbasikal berupaya menyihatkan otot dan sendi kaki serta menguatkan tulang rawan.
Berbasikal tidak memerlukan kemahiran khas seperti berenang. Malah, aktiviti berbasikal boleh dilakukan oleh hampir kebanyakan orang. Tidak perlu dalam keadaan stres, sebaliknya aktiviti ini boleh dilakukan dalam keadaan santai dan rileks sahaja.
3. Mendaki
Mendaki pula dapat membantu anda menguatkan stamina dan daya tahan badan. Selain itu, ia meningkatkan kapasiti kerja jantung dan paru-paru. Aktiviti fizikal ini menjadikan jantung dan paru-paru perlu bekerja keras untuk memberikan tenaga kepada tubuh. Ini kerana aktiviti mendaki memerlukan tenaga yang banyak.
Cukup sekadar mendaki bukit landai di kawasan kejiranan anda, jika ada. Jika di Lembah Klang, antaranya ialah Bukit Broga, Bukit Saga dan Bukit Gasing. Anak-anak juga boleh dibawa sekali ketika aktiviti mendaki. Mereka pasti teruja melihat pemandangan yang sangat cantik ketika matahari terbit pagi.
4. Berlari
Aktiviti berlari juga bagus diamalkan untuk mengekalkan kesihatan anda. Antara kebaikan aktiviti berlari adalah dapat menguatkan otot, mengurangkan berat badan serta menguatkan paru-paru. Malah aktiviti berlari dapat memberikan anda tidur nyenyak.
Anda boleh melakukan aktiviti berlari di sekitar taman perumahan anda sendiri bersama keluarga. Sekali-sekala, anda juga boleh menyertai aktiviti larian seperti maraton yang sering dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
5. Mengemas Rumah
Mengemas rumah adalah aktviti sihat yang wajib dilakukan oleh setiap keluarga. Bukan sahaja dapat mengeluarkan peluh, aktiviti ini mendidik kebijaksanaan dalam pengagihan tugas dan melatih anak-anak memikul tanggungjawab.
Banyak aktiviti dapat dilakukan setiap ahli keluarga. Antaranya mengelap lantai, mencuci bilik air, membasuh kereta dan berkebun di halaman rumah. Apabila rumah bersih dan kemas, ahli rumah juga akan berasa tenang dan gembira.
Kami ada koleksi banner keceriaan kelas, cikgu boleh tengok disini http://www.bit.ly/2Ym2JYn
Share, Like & Follow kami https://web.facebook.com/cikgukreatifmuridsayang